Joe’s Lecture: Ekskavasi ‘Bawah Tanah’ in Ipoh 2002
October 2002, I was invited to do a talk on the “underground music scene” at the Yayasan Kesenian Perak, Ipoh. This is the first time I’ve ever done this sort of thing. Pretty scary really, but in the end I thoroughly enjoyed it especially when several parents of scenesters talked to me about their worry and concern and that how the talk had changed their minds on certain misinformation the had about the scene.
16. 10. 2002
Ekskavasi ‘Bawah Tanah’ Bersama Joe Kidd
by Nur Hanim Mohamed Khairuddin for kakiseni.com
Buat pertama kalinya, wacana perihal budaya underground berjaya menerobos dinding Yayasan Kesenian Perak. Pada petang 20 Julai 2002 bertempat di Rumah YKP, acara ‘Gebang Seni Bersama Joe Kidd’ menjadi arena kepada kira-kira 40 orang peserta yang majoritinya terdiri daripada anak-anak muda yang terlibat dan punya minat dalam bidang musik khususnya genre musik independen/alternatif, selain daripada kalangan pelajar seni dan tenaga profesional.
Perkataan ‘underground’ lazimnya membawa konotasi yang menyentuh rasa musykil yang membimbangkan; selalu dikaitkan dengan tindak-tanduk gerombolan berhaluan kiri berciri subversif, radikal dan anarkis, yang menyangkal sistem-sistem otoritatif sesebuah komuniti atau peradaban, dan sering dilabel anti-establishment. Namun dalam konteks seni musik pula, underground music menyentuh pelaksanaan kreativiti dan bakat yang terhasil secara independen tanpa seratus persen bergantung kepada elemen-elemen kapitalisme perdana yang membabitkan orang tengah, khususnya segelintir syarikat rakaman besar dan parasit seni, yang sering mengambil kesempatan ke atas hak-hak artis rakaman yang memungkinkan popularitinya meletup dalam sekelip mata dan merudum juga dalam sekelip mata.
Joe Kidd, satu nama yang amat sinonim dengan musik underground lokal, berkongsi jiwa dan pemikirannya tentang senario dan peranan undergrounders di Malaysia. Dilahirkan di Terengganu 37 tahun lalu, Joe, seorang graduan jurusan kejuruteraan dari sebuah politeknik tempatan, memulakan kerjayanya sebagai penulis yang membuat liputan musik alternatif tempatan untuk akhbar The Star dan The Sun sekitar pertengahan 90-an. Pada awal tahun 1992, Joe Kidd menyertai beberapa orang teman di dalam kumpulan musik Carburetor Dung (nama asalnya Stormfish) yang menjunjung pegangan musik punk rock.
Di dalam kesibukan memperjuang kesinambungan genre musik alternatif tempatan sebagai editor kolum ‘Blasting Concept’ akhbar The Sun, pengedar produk musik melalui Alternative Garage Entertainment (AGE) dan promoter gig, Joe Kidd turut menerjunkan diri ke dalam cabang-cabang seni yang lain: bermula dari penerbitan secara DIY zine ‘Aedes’, pembikinan soundtrack filem ‘Dari Jemapoh ke Manchestee’, persembahan di pembukaan pameran ‘War Box Lalang & Killing Tools’ (oleh artis visual Wong Hoy Cheong, Raja Shahriman dan Bayu Utomo), persembahan di Gwangju Bienale dan sebagainya. Pernah dilabel oleh majalah Klue sebagai ‘the grandfather of Malaysian punk rock’, beliau telah lebih 20 tahun mengabdikan seluruh masa, tenaga dan materialnya demi sub-kultur underground; bermula dari persekitaran Central Market kemudian ke Brickfields dan akhirnya di Bukit Ceylon. Kini, beliau masih setia menatang idiom-idiom punk rocknya sebagai promoter musik independen melalui beberapa siri gig seperti Unclogged serta Chow Kit Fest di Kuala Lumpur dan turut mengeksplorasi bakat kreatifnya dalam bidang rekacipta grafik untuk mengumpul modal bagi ekstensi perjuangan musik undergroundnya.
Beliau berpendapat apa sahaja penciptaan seni tidak seharusnya dibiarkan campurtangan oleh pihak luar. Ia semestinya lahir dengan jujur tanpa apa-apa bentuk sekatan yang mengongkong kreativiti dan ekspresi seseorang seniman. Pandangan negatif ke atas senario underground yang banyak dimanipulasi media dan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan serta agenda masing-masing tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat perjuangan insan-insan seni. Fundamental inilah yang dianuti oleh kelompok undergrounders bila mana konsep DIY (do it yourself) menekankan unsur-unsur dan semangat mandiri setiap individu. Justeru, produk-produk seni yang terhasil dengan keringat dan usaha independen akan menjadi lebih bermakna dan memberi kepuasan total kepada mana-mana seniman itu (walau pun pulangan komersial mungkin tidak seberapa).
Antara topik yang hangat dibincangkan adalah berkenaan pengharaman gig yang bertitik tolak dari kekalutan reaksi latah sesetengah pihak terhadap musik black metal. Isu ini sengaja diperbesarkan dan banyak pihak telah tersilap membuat tafsiran melulu tanpa kajian yang mendalam. Black metal sering dianggap sebagai gejala yang merosakkan; pengikutnya dikaitkan dengan amalan syirik dan ritual pemujaan syaitan, membakar Al-Quran, konsumer korban darah kambing dan pelbagai alasan-alasan karutmarut kadangkala membuat kita tidak kering gusi. Akibat dari satu peristiwa yang tidak sahih yang diuar-uarkan dengan penuh sensasi serta dengan kedangkalan masyarakat umum di dalam memahami kultur ‘bawah tanah’ anutan anak watan, terbantut dan terpendamlah kreativiti anak-anak muda yang ketagihkan gelanggang atau platfom untuk meluahkan ekspresi diri yang tercetus dari aliran adrenalin yang sedang melonjak. Maka tidakkah penggubal hukum dunia ini terfikir atau risau mengenai ruang alternatif lain yang bakal diterokai para belia yang tidak berpeluang ber‘gig’ sebagai pilihan berkreatif, selain dari acara-acara riadah ‘rakan muda’ yang dipantau dari semua sudut dan segi? Dan keadilan terus dituntut bila timbulnya persoalan mengapa gig untuk genre musik lain seperti hip hop, disko dan dangdut mendapat lampu hijau sedangkan kemelut masalah sosial terang-terangan dapat dikesan di dalam arena-arena tersebut.
Isu black metal, seperti juga kontroversi punk sedekad yang lalu atau polemik hippi dan flower-power serta kegelisahan Woodstock sekitar tahun 60-an dan 70-an, hanya bakal menjadi bahan lelucon yang dimomok oleh generasi baru tentang sikap double-standard pihak atasan yang mengutuk dan mencerca golongan undergrounders dan belia sub-kultur tetapi masih bergelek dan berkhayal di celah-celah kemontokan GRO di kelab-kelab eksklusif hingga dinihari. Adilkah dihadang secara total unsur-unsur ekspresi diri anak-anak muda yang pada realiti hidup moden ini ada nilai-nilai positif? Kedangkalan akal, ketohoran pemahaman dan kekalutan kemelut identiti pihak berotoriti bakal meresahkan lagi kekecamukan jiwa anak-anak muda yang cuba mencari kelainan dalam ‘pesta demokrasi’.
Joe Kidd juga banyak menekankan peranan ibubapa dalam menentukan halatuju serta batasan pergaulan anak-anak merentang alur hedonisme yang menular. Beliau percaya, dengan sifat yang lebih terbuka dan bersikap cuba memahami serta mengambil tahu persekitaran sosial dan teman-teman anak mereka, keluarga tidak akan dikecewakan. Musik punk, black-metal, hip hop dan sebagainya hanyalah satu wadah musik kontemporari zaman kini seperti juga rock n roll, twist, cha-cha mahu pun joget lambak pada suatu masa dahulu. Cuma pengisian teori dan ideologinya di zaman ICT ini lebih padat dengan informasi dan manifesto lewat zine dan internet, menjadikan pengertian atau pengikutan bentuk-bentuk musik itu lebih kejap dan serius hingga kadangkala terbawa ke dalam kehidupan harian. Namun, dengan pantauan dan rasa saling menghormati, keluarga seharusnya tidak perlu risau. Ramai tokoh-tokoh yang dihormati masih setia mendengar jenis musik kegilaan zaman remaja mereka. Profesor Ungku Aziz misalnya tetap senang dengan desingan rock dan heavy metal, Dato’ Shahrum Yob setia dengan alunan dangdut dan pelukis Yusof Ghani berkarya berlatarkan musik Pink Floyd.
Semasa acara Gebang Seni, Joe Kidd juga terus-terusan menekankan peri pentingnya kelompok undergrounders untuk menambah ilmu dari pembacaan buku dan bahan-bahan penerbitan yang lain. Topik-topik tidak sepatutnya hanya berkisar tentang musik semata-mata tetapi mencakupi subjek-subjek lain; sejarah, sains, politik, budaya dan sebagainya. Dengan pengetahuan yang diraih hasil pembacaan, sedikit sebanyak mampu menjana minda dan bisa mengamati musik itu dalam konteks yang lebih luas. Justeru membantu penghasilan lirik-lirik lagu yang kukuh dan bermakna; tidak hanya berkisar tentang cinta, putus cinta, cinta, putus cinta, cinta dan putus cinta seperti yang sering dijaja oleh kebanyakan artis popular di dalam industri musik perdana tanahair. Lirik lagu yang disokong oleh musik yang menarik menjadi suatu jentera mekanisma penyampaian mesej kepada pendengar. Dengan kefahaman yang mendalam tentang ehwal semasa, polemik serta konflik yang dialami samaada dari segi sosial, budaya, politik dan penghidupan di sekelilingnya, seseorang seniman wajar untuk menghasilkan karya yang mampu menjana audiennya untuk membuat rumusan bijak dan intelek tentang sesuatu peristiwa.
Metallica dan Iron Maiden sering menghasilkan lirik-lirik lagu berlandaskan pemahaman yang utuh tentang sajak dan sastera klasik. Umpamanya, lagu “For Whom The Bell Tolls†adalah berdasarkan prosa Ernest Hemingway dan “The Rime of the Ancient Mariner†pula diceduk dari sajak Samuel Taylor Coleridge; diadun dengan bahasa yang membawa impak yang patriotik, filosofikal dan mengkagumkan. Kini kumpulan musik keras tanahair seperti Cromok dan Amuk sudah sedikit sebanyak menjalankan peranan mereka sebagai figura-figura awam (public figures) yang mampu memberi ‘sesuatu’ kepada pendengar lagu-lagu dinamik mereka.
Semoga wakil kumpulan-kumpulan musik underground sekitar Ipoh yang hadir seperti Enthrone Falls, Muck, Pyron, Bloodymary dan lain-lain, mendapat manfaat dan ilmu hasil wacana yang diadakan serta mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan underground scene dengan reputasi yang dihormati sejajar berupaya mencetus penghasilan karya-karya yang boleh menyumbang bukan sahaja untuk kepuasan materi tetapi juga spiritual pendengarnya. Etika DIY atau praktikum mandiri sewajarnya memupuk semangat yang mendisiplinkan diri ke arah kehidupan yang lebih positif dan bermakna.
Seperti pesan Joe Kidd, etika DIY yang digalinya dari falsafah punk rock merupakan satu attitude (sikap) yang bisa mengajar seseorang untuk punyai nilai self-empowerment dan berkeyakinan diri. Menurut beliau lagi, jaringan dan etika DIY bukan sahaja untuk golongan musik undergrounders, tetapi harus juga dianuti oleh kelompok-kelompok masyarakat yang lain, terutama yang menitikberatkan sikap berdikari, memiliki perjuangan marginal dan bergerak di bawah arus perdana tanpa senantiasa bergantung di atas suapan subsidi semata-mata.
Biar gelandangan fizikal, jangan gelandangan mental dan spiritual.
Nur Hanim Mohamed Khairuddin
Kurator YKP