Radio Malaya Compilation CD – MStar Report
a report by mStar online news page on the release:
Penerbit album ‘indie’ terpaksa ikat kontrak
Diterbitkan: Sabtu 22 Apr, 2006
Oleh Salhan K. Ahmad
Demi meneruskan hidup dalam industri muzik, pemilik label independen Bodysurf Music akhirnya terpaksa menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat antarabangsa pengedar rakaman Inter Global Music untuk memasarkan Radio Malaya, album kompilasi 15 kumpulan tempatan.
Album kompilasi Radio Malaya yang akan dilancarkan hari ini di Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac). Album edaran Inter Global Music ini boleh didapati di semua kedai muzik seluruh negara sedikit masa lagi dengan harga RM22 seunit.
Langkah seumpama ini, yang tidak disenangi di kalangan penggiat muzik independen, pernah diambil oleh pemilik label Alternative Garage Entertainment (AGE) sewaktu senario DIY (Do It Yourself) dalam muzik ini mula bertapak sejak sedekad lepas.
Sementara kumpulan-kumpulan muzik, The Pilgrims, Carburetor Dung, FTG dan OAG yang berasal dari kelompok DIY turut berhijrah ke dunia arus perdana.
AGE dan Carburetor Dung bagaimanapun telah kembali semula ke arena DIY setelah menyedari pergelutan dalam arus perdana muzik tidak selari dengan amalan senario independen.
Bodysurf Music akan melancarkan Radio Malaya bersama persembahan 15 kumpulan terbabit di Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) hari ini.
Daripada 1,200 keping album, 300 unit telah berjaya dijual melalui pos dan juga secara runcit di konsert-konsert mini (lebih popular disebut ‘gig’) sejak Disember lalu.
Jumlah itu amat kecil berbanding dengan jualan album artis-artis arus perdana. Kaedah pasaran muzik dalam senario DIY ini menyukarkan kelangsungan hidup (survival) pemilik-pemilik label.
Meor Shahiran (kanan) dan adiknya Meor Sharuz (dua dari kiri) dari kumpulan Muck memulakan label Bodysurf Music sejak 1993 dengan harapan untuk meneruskan amalan DIY sebagai kaedah alternatif kepada pergelutan dalam industri muzik arus perdana. (Foto The Star).
Bodysurf Music diusahakan adik beradik yang dikenali Meor Shahiran (Meor) dan Meor Sharuz (Ducktoi). Label ini sebelumnya dikenali Medan Kidd Slackers Distro, gelaran bagi peminat-peminat muzik indie, punk dan hardcore yang menjadikan Medan Kidd di tengah bandar Ipoh sebagai tempat mereka berkumpul, bertukar-tukar fikiran dan merchandise mereka sejak 1993.
Pemilik abel ini, sewaktu dikenali MKS Distro, menerbitkan album kompilasi Kopi Sechewen Vol 1 dan album Good Riding Cat karya kumpulan Brush Moistened. Selepas bertukar namanya kepada label sekarang pada 1997, Bodysurf Music membuka sebuah studio latihan di Wallercourt, Ipoh.
Ia kemudiannya menerbitkan kompilasi Kopi Sechewen Vol 2 dan Kopi Sechewen Vol 3serta album Why Too Care karya Bloodymary dan album bersama Muck, band yang dianggotai mereka, dengan kumpulan independen dari United Kingdom bernama Things in Herd.
Dua beradik ini berhasrat melebarkan lagi promosi kumpulan-kumpulan independen tempatan, namun mereka masih kabur dengan masa depan label muzik ini.
“Selepas (gig) pelancaran Radio Malaya, entahlah…. Mungkin kami akan beri perhatian untuk menerbitkan album lagi,” kata Meor kepada mStar Online baru-baru ini apabila ditanya rancangan mereka untuk tahun 2006.
“Di sini (Ipoh) masih tak boleh buat show (gig). Kalau ada pun, banyak yang dibatalkan. Saya pun tak berani nak anjurkan apa-apa persembahan setakat ini, tahu-tahu sajalah dengan isu Black Metal baru-baru ini.”
Awal tahun ini, media massa menggambarkan penggemar-penggemar muzik genre Black Metal, sebahagian besarnya anak muda Melayu, sebagai mereka yang telah melencong daripada pegangan agama.
Laporan-laporan meluas ini menimbulkan rasa resah-gelisah masyarakat sehingga mendorong Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan muzik ini akhir Januari lalu.
Sebelumnya, satu gig di Kuala Lumpur diserbu polis pada malam menyambut Tahun Baru dan 380 pengunjung, termasuk penganjur dan pemilik premisnya di Jalan Klang Lama, ditahan dan disoal siasat. Susulan perkembangan ini, usaha menganjurkan gig di seluruh negara menemui jalan sukar.
Meor, juga sebagai pemain drum Muck, menambah, “sudah tidak ada tempat lain untuk buat show (gig). KLPac adalah tempat yang masih selamat (daripada tanggapan negatif masyarakat)”.
KLPac, sebuah kompleks kesenian persendirian, terpaksa dijadikan pilihan terakhir Bodysurf Music selepas pusat-pusat hiburan enggan mengizinkan gig tersebut diadakan.